PERANCIS: Dewan Senat melakukan undian untuk melarang gadis berumur 18 tahun ke bawah memakai hijab di tempat awam yang mendapat kutukan ramai.
Bantahan itu menjadi tular dalam media sosial dengan dengan tanda pagar #HandsOffMyHijab.
Dewan Senat di Paris mahu memperkenalkan Rang Undang-Undang (RUU) ‘anti-pemisahan’ yang bertujuan memperkukuhkan sistem sekular negara.
Langkah itu mendapat kritikan kerana secara jelas menyerang populasi minoriti Islam di negara itu.
Ketika perbahasan RUU yang diusulkan pada 30 Mac lalu, senator bersetuju mengenai pindaan RUU yang meminta larangan di tempat umum mengenai simbol-simbol keagamaan oleh kanak-kanak di bawah umur atau sebarang pakaian yang menunjukkan golongan wanita lebih rendah daripada lelaki.
Larangan itu bagaimanapun, belum digubal menjadi undang-undang kerana Majlis Nasional Perancis diwajibkan menandatangani perubahan tersebut sebelum dilaksanakan.
Pemakaian tudung oleh orang Islam di negara itu menjadi subjek perdebatan selama beberapa dekad di Perancis.
Kontroversi itu turut menarik perhatian beberapa personaliti terkenal seperti atlet Olimpik, Ibtihaj Muhammad yang menyifatkan pindaan itu sebagai serangan Islamophobia semakin teruk di Perancis.