KUALA LUMPUR: Kementerian Luar Ukraine menyambut baik tindakan Rusia yang menghentikan latihan ketenteraan serta mengundurkan semua tenteranya berhampiran sempadan Ukraine dengan menyifatkan keputusan itu sebagai ‘langkah meredakan ketegangan’.
Menterinya, Dmytro Kuleba dalam satu kenyataan yang diperoleh Utusan Malaysia memaklumkan, Ukraine amat mengalu-alukan keputusan yang dibuat oleh Rusia dan berharap langkah itu bukan hanya sekadar ‘lakonan’ susulan dunia mula memberi perhatian terhadap tindakan Moscow.
“Kenyataan Menteri Luar Rusia, Sergei Shoygu itu sendiri sebenarnya merupakan satu perkembangan yang dialu-alukan.
“Sekiranya Rusia benar-benar menarik diri dari sempadan Ukraine dengan kekuatan tentera yang sangat besar, maka, ini dapat meredakan ketegangan,” katanya.
Namun, Kuleba mengingatkan bahawa langkah itu tidak akan mengakhiri konflik semasa yang tercetus antara Rusia dan Ukraine.
Jelas beliau, Ukraine akan terus memantau situasi dan membuat persediaan menghadapi Rusia pada masa akan datang
Selain itu, beliau menegaskan Ukraine ingin melihat langkah konstruktif yang konsisten dari Rusia, serta disahkan oleh perisik sekutu negara itu dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) mengenai tindakan yang dilakukan oleh Moscow.
“Kami ingin Rusia menjelaskan kepada semua pihak termasuk dunia mengenai tindakan mereka mengadakan latihan ketenteraan di sempadan Ukraine,” tegas Kuleba.
Sementara itu, Ukraine turut melihat reaksi dan ketegasan pihak antarabangsa terhadap Rusia adalah tepat pada masanya.