Tujuh dekad menyulam cinta dengan Ratu Elizabeth II  - Utusan Malaysia

Tujuh dekad menyulam cinta dengan Ratu Elizabeth II 

PUTERA PHILIP berjalan berpimpingan tangan dengan Ratu Elizabeth II. -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERITA pemergian Putera Philip awal pagi Jumaat lalu menggemparkan dunia dan seluruh penduduk Britain. 

Suami kepada Ratu Elizabeth II meninggal dunia semasa mencecah umur 99 tahun di Istana Buckingham, United Kingdom. 

Putera Philip ditahan di Hospital King Edward VII sejak 17 Februari lalu selepas dilaporkan tidak sihat. 

Istana itu kemudian mengesahkan beliau dirawat kerana mendapat jangkitan. 

Pada 1 Mac lalu, beliau dipindahkan ke Hospital St. Bartholomew bagi menjalani rawatan mengenai jangkitan itu termasuk menguji keadaan jantungnya. 

Selepas menjalani pembedahan jantung, beliau dibenarkan keluar dari hospital pada pertengahan Mac lalu. 

Putera Philip mendapat gelaran Duke of Edinburgh selepas beliau mendirikan rumah tangga dengan Ratu Elizabeth pada 20 November 1947. 

Perdana Menteri Britain, Boris Johnson memberikan penghormatan kepada beliau dan menyifatkan Duke of Edinburgh itu disayangi daripada seluruh generasi di United Kingdom, negara Komanwel serta pelusuk dunia. 

Bendera Union Jack dikibar separuh tiang di Istana Buckingham sebagai menghormati pemergian Philip.

KISAH CINTA 

Putera Philip mempunyai rupa paras menawan, tinggi lampai dan mempunyai rambut berwarna perang. 

Pasangan itu kali pertama berjumpa pada Julai 1939 semasa Philip berusia 18 tahun dan Elizabeth 13 tahun. 

Sejak itu, mereka sering berjumpa dalam pelbagai majlis dan beberapa acara. 

Philip pernah dijemput menghabiskan cuti Krismas 1943 bersama Keluarga Diraja di Windsor dan sejak itu, bertebaran spekulasi mengenai hubungan cinta mereka. 

Philip dan Elizabeth sudah dilamun cinta. Difahamkan, mereka berkahwin semasa musim panas 1946 dan menetap di Balmoral. 

Namun, pengumuman rasmi ditangguhkan sehingga Puteri Elizabeth mencecah usia 21 tahun dan sekembalinya dari percutian diraja di Afrika Selatan. 

King George VI yang merupakan bapa kepada Ratu Elizabeth memberikan kebenaran untuk mereka berkahwin. 

Selepas berkahwin pada 1947, Philip meninggalkan gelaran diraja Denmark dan dikurniakan gelaran Duke of Edinburgh. 

KERJAYA 

Putera Philip dilahirkan pada 21 Jun 1921 di Greece. 

Berasal dari kerabat diraja Denmark, beliau menyertai Tentera Laut Diraja British pada 1939 ketika berusia 18 tahun selepas mendapat pendidikan di Perancis, Jerman dan UK. 

Philip menyertai Tentera Laut semasa Perang Dunia Kedua dan berkhidmat di kepulauan Mediteranean dan Laut Pasifik. 

Pasangan diraja itu berpindah ke Malta ditempat beliau ditugaskan. 

Namun, Philip meninggalkan perkhidmatan tentera semasa Puteri Elizabeth ditabalkan sebagai ratu pada 1952 dan menjadi putera diraja secara rasmi pada 1957. 

Sepanjang 70 tahun menggalas tugas diraja, Philip banyak menemani Ratu Elizabeth mengelilingi dunia. 

Beliau mengunjungi 143 negara dan terlibat dalam 780 organisasi. 

Anugerah Duke of Edinburgh yang bermula pada 1956 adalah program paling berjaya dilaksanakan kepada golongan remaja. 

Pasangan itu dikurniakan zuriat empat anak, Putera Charles, Puteri Anne, Putera Andrew dan Putera Edward. 

PENGEBUMIAN 

Istana Buckingham dalam kenyataan berkata tiada upacara pengebumian peringkat negara akan dilaksanakan berikutan pandemik Covid-19.  

Majlis pengebumian Duke of Edinburgh dijangka berlangsung di Istana Windsor selepas lapan hari Britain berkabung. 

Keluarga Diraja dan Kerajaan UK menggesa orang ramai tidak berhimpun atau meletakkan jambangan bunga di luar kediaman diraja. 

“Ini adalah masa yang sukar untuk semua orang, kami minta orang ramai tidak berhimpun di kediaman diraja serta mematuhi arahan kesihatan awam dengan mengelakkan berkumpul beramai-ramai,” kata kenyataan itu. -CNN/AGENSI 

 

 

 

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya