BANGKOK: Pihak berkuasa Thailand bercadang untuk menutup sejumlah tempat hiburan di Bangkok dan 40 wilayah ketika negara ini berdepan dengan gelombang baharu jangkitan Covid-19.
Pasukan Covid-19 Thailand menggesa orang awam dan sektor swasta supaya membenarkan pekerja mereka bekerja dari rumah serta mengelak perjalanan tidak penting.
Sebanyak 405 jangkitan baharu direkodkan hari ini yang dikaitkan dengan sektor hiburan di bandar raya ini.
Kes jangkitan koronavirus di negara ini juga dikhuatiri terus meningkat memandangkan sambutan festival air atau Songkran bakal disambut pada minggu depan.
Dalam pada itu, jurucakap kerajaan Thailand, Anucha Burapachaisri memaklumkan pusat hiburan yang merekodkan kes jangkitan Covid-19 sudah diarahkan tutup.
Sementara itu, negara ini merancang untuk memulakan program vaksinasi Covid-19 besar-besaran pada Jun ini.