BIRMINGHAM: Syarikat rangkaian pasar raya besar Tesco didenda sebanyak 7.56 juta pound (RM43.5 juta) kerana menjual makanan tamat tempoh di tiga cawangan di Birmingham.
Lapor BBC, barangan yang dimaksudkan itu ditemui di dua rangkaian Tesco Express di kawasan bandar dan Bournville serta Tesco Metro di Bristol Road South.
Denda itu dikenakan selepas Tesco Stores Ltd mengaku 22 kesalahan melanggar Peraturan Keselamatan Makanan dan Kebersihan yang berlaku antara 2016 hingga 2017.
Menurut Tesco, pihaknya akan mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan masalah itu.
Syarikat itu dikenakan penalti oleh Mahkamah Majistret Birmingham semalam dan perintah bayaran kos pendakwaan sebanyak 95,500 pound (RM550,000).
Pendakwaan dikendalikan oleh Jabatan Kesihatan Alam Sekitar yang menerima aduan daripada pihak berkuasa tempatan mengenai makanan yang dijual tamat tempoh sehingga siasatan dilakukan.
Sementara itu, jurucakap Tesco berkata, pihaknya kecewa dengan sebilangan kecil makanan yang tamat tempoh didapati dijual di tiga cawangan pada 2016 hingga 2017.
“Keselamatan pelanggan sentiasa menjadi keutamaan kami dan insiden ini tidak mewakili kualiti tinggi keselamatan seperti yang diharapkan di rangkaian Tesco.
“Kami mengambil langkah segera untuk menyelesaikan masalah ini serta kami mahu menyakinkan pelanggan terhadap prosedur mantap bagi memastikan insiden sama tidak berulang,” jelasnya.