LONDON: Empat adik beradik perempuan terkejut selepas mendapat tahu sebuah buku lama siri Harry Potter yang dibeli oleh ibu mereka yang sudah meninggal dunia akibat kanser payudara, merupakan edisi pertama yang jarang didapati.
Malah, buku yang dibeli di sebuah pesta sekolah pada harga satu Pound (RM5.70) kira-kira 20 tahun lalu, dianggarkan kini bernilai hampir 30,000 Pound (RM171,345).
Lapor Metro, ibu mereka yang merupakan bekas guru sekolah rendah dilaporkan gemar membaca dan suka membeli buku bagi memupuk tabiat membaca dalam kalangan anak-anaknya.
Menurut anak sulungnya, 31, yang namanya tidak didedahkan, dia tidak menyangka buku, Harry Potter and the Philosopher’s Stone yang disimpan oleh keluarganya, amat berharga.
“Ibu meninggalkan hadiah cukup bermakna. Ini semua kerana kesungguhannya dan mendorong kami lebih membaca. Ibu seorang yang gemar membaca.
“Ibu juga sentiasa meminta kami menjaga buku selepas habis membaca. Oleh itu, semua buku dalam keadaan cukup baik walaupun sudah beberapa kali membacanya,” katanya.
Jelasnya, wang daripada hasil jualan buku itu akan dibahagikan dalam kalangan adik-beradiknya.
Salinan buku berkulit tebal itu yang dicetak pada 1997 merupakan koleksi Harry Potter yang paling popular dicari.
Dilaporkan, harga buku itu pernah mencecah antara 17,500 Pound (RM99,943) dan 68,000 Pound (RM388,352) bergantung pada keadaan buku dalam satu jualan lelong.
Buku edisi pertama itu akan dijual oleh Hansons Auctioneers dalam acara Hogwarts Auction di Bishton Hall, Staffordshire.