Terkandas 38 hari di Amazon - Utusan Malaysia

Terkandas 38 hari di Amazon

SENA menunjukkan isyarat bagus selepas dia diselamatkan di Para, Brazil. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BRASILIA: Antonio Sena sedang menerbangkan pesawat Cessna 210 merentasi hutan Amazon apabila enjin kapal terbang tersebut berhenti tiba-tiba dan menyebabkan juruterbang itu hanya mempunyai masa beberapa minit bagi mencari lokasi untuk mendarat.

Terbang pada ketinggian kira-kira 1,000 meter, juruterbang itu tahu dia tidak mempunyai pilihan selain berusaha mendaratkan pesawatnya dengan kaedah yang paling selamat bagi mengelak sebarang insiden buruk.

Juruterbang berusia 36 tahun berjaya mendaratkan pesawatnya di kawasan lembah dan dia juga tidak mengalami sebarang kecederaan.

Namun, apa yang berlaku seterusnya mengubah kehidupan Sena apabila lelaki itu terkandas di dalam hutan Amazon selama 38 hari sebelum diselamatkan.

Selepas mendarat, Sena membawa semua barangan yang dirasakannnya boleh digunakan untuk kecemasan termasuk botol air, makanan, tali, peti kecemasan dan dua pemetik api.

Tidak lama selepas itu, pesawat berkenaan meletup dan hancur berkecai.

Insiden itu berlaku pada 28 Januari lalu ketika Sena dipertanggungjawabkan membawa kargo dari utara pekan Alenquer ke sebuah lombong emas haram di kawasan hutan Amazon yang digelar ‘California’.

Lima hari pertama sejak insiden itu berlaku, Sena menyedari pihak berkuasa cuba mencarinya berikutan dia mendengar bunyi helikopter serta pesawat di kawasan nahas.

Namun, keadaan hutan tebal menyukarkan untuk lelaki itu ‘diselamatkan segera’ dan hari-hari berikutnya, Sena tidak lagi mendengar bunyi helikopter yang ditugaskan untuk mencarinya.

“Saya berasa sangat kecewa. Saya ingat saya tidak akan dapat keluar dari hutan ini dan hanya menunggu ajal,” katanya.

Sepanjang di dalam hutan, Sena menggunakan bateri telefon bimbitnya untuk mengetahui lokasinya menggunakan Sistem Pengesanan Global (GPS) dan memutuskan untuk berjalan ke arah timur sebelum menemukan dua lapangan terbang.

Binatang buas

Sena menceritakan dia cuba bertahan dengan keadaan di sekelilingnya sebaik mungkin dan cuba mengingati semua teknik meneruskan hidup di dalam hutan yang dipelajari sebelum ini.

“Sumber air ada, tapi makanan sukar dicari, selain saya juga berdepan dengan ancaman binatang buas seperti jaguar, buaya dan anakonda.

“Saya juga makan buah yang haiwan lain makan dan pernah satu masa saya bernasib baik kerana dapat mengambil tiga biji telur burung dan itu adalah satu-satunya sumber protein yang saya makan,” ujarnya.

Melakukan kerja haram

                                                                                                                                                          Pandemik Covid-19 menyebabkan Sena terpaksa melakukan kerja yang tidak difikirkannya iaitu terlibat dengan kegiatan lombong emas haram, merosakkan hutan dan mencemarkan sungai dengan merkuri.

Juruterbang yang mempunyai rekod penerbangan sebanyak 2,400 jam itu sebelum ini pernah membuka restoran di kampung halamannya, namun Covid-19 memaksa dia menghentikan operasi.

“Saya perlu cari jalan macam mana untuk dapatkan duit. Saya tidak pernah terfikir untuk melakukan kerja haram, namun itu sahaja pilihan yang saya ada,” jelasnya.

Serik

Sepanjang 38 hari terkandas di Amazon, Sena berjalan sejauh 28 kilometer dan kehilangan berat badan sebanyak 25 kilogram.

Pada hari ke-35, lelaki itu terdengar bunyi ‘harapan’ iaitu kerja-kerja pembalakan dilakukan, lantas Sena segera berjalan ke arah itu dan akhirnya bertemu dengan sekumpulan penduduk yang bekerja sebagai pencari kacang Brazil.

Kumpulan penduduk itu terkejut melihat keadaan Sena dan mereka membantu lelaki tersebut menghubungi ibunya untuk memberitahu dia selamat.

Ketua penduduk, Maria Jorge dos Santos Tavares bersama keluarganya sudah menguasahakan perniagaan kacang Brazil di dalam hutan tersebut selama lima dekad.

“Maria berikan saya makanan serta pakaian bersih. Keluarganya melayan saya dengan baik.

“Melihat mereka hidup harmoni di dalam hutan menimbulkan rasa bersalah dalam diri apabila saya sebelum ini antara yang terlibat memusnahkan hutan dan alam sekitar,” katanya.

Sehubungan itu, Sena berikrar untuk tidak lagi terlibat dalam mana-mana kerja haram termasuk kegiatan perlombongan tidak berdaftar. – AFP

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya