WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengumumkan penarikan balik pasukan tentera AS dari Afghanistan tanpa syarat.
Keputusan itu dibuat selepas Biden berhasrat menamatkan peperangan paling lama di Afghanistan yang bermula sejak 20 tahun lalu.
Katanya, pasukan tentera AS akan meninggalkan Afghanistan sebelum ulang tahun ke-20 tragedi serangan 11 September pada tahun ini.
Langkah pengunduran itu akan bermula pada 1 Mei depan.
Biden berkata, AS sudah mencapai misi asal menumpaskan kumpulan pengganas antarabangsa di sebalik tragedi serangan 11 September 2001.
Malah, katanya, sebab untuk pasukan tentera As terus berada di Afghanistan semakin kabur.
Bagaimanapun, Biden menegaskan pengunduran itu tidak dilakukan secara terburu-buru tetapi yakin dengan keputusan tersebut.
“Serangan dahsyat itu sudah berlaku kira-kira 20 tahun lalu, jadi tidak ada sebab mengapa kita perlu terus berada di sana.
“Sudah tiba masanya kita tamatkan peperangan ini,”katanya dalam ucapannya yang disiarkan secara langsung di televisyen.
Sementara itu, Metro melaporkan beberapa negeri di AS memfailkan saman terhadap pentadbiran Biden susulan keputusan membenarkan kemasukan pencari suaka warga Mexico ke negara tersebut.
Jelas laporan itu, Texas, Arizona dan Missouri memfailkan tuntutan di mahkamah Persekutuan terhadap pentadbiran Biden kerana menarik balik dasar kontroversi iaitu dasar `kekal di Mexico’.
Berdasarkan tuntutan mahkamah difailkan Selasa lalu, peguam negara di Texas dan Missouri mendakwa kegagalan Biden meneruskan dasar diperkenalkan oleh bekas presiden, Donald Trump menjadi punca peningkatan jumlah pendatang asing tanpa izin dan jenayah di negeri tersebut.
Peguam Negara Arizona, Mark Brnovich dalam dokumen mahkamah pula menegaskan bahawa kemasukan pendatang asing ke negara itu memberi kesan buruk terhadap alam sekitar.
Lapor New York Post, Brnovich mendakwa setiap pencari suaka yang merentasi AS meninggalkan kira-kira 2.7 hingga 3.6 kilogram (kg) sampah di kawasan padang pasir.
“Sampah yang ditinggalkan oleh mereka boleh menjadi ancaman kepada hidupan liar dan habitat semula jadi,” katanya.
Tuntutan mahkamah itu antara lain mendakwa peningkatan populasi yang disebabkan oleh pendatang asing akan menyebabkan pencemaran, pelepasan karbon dioksida dan gas rumah hijau ke atmosfera yang memberi kesan kepada kualiti udara. – AFP/AGENSI