JAWA: Seorang pembuat beduk dari Jawa Tengah boleh menarik nafas lega selepas mula menerima tempahan peralatan itu.
Lapor Kompas.com, berbanding tahun lalu semasa pandemik Covid-19 mula melanda, Taufik Amin dari Kampung Keniten hanya menerima satu tempahan sahaja.
Katanya, tempahan itu meningkat sebanyak 50 peratus berbanding sebelum ini.
“Alhamdulillah, tahun ini tempahan semakin bertambah. Berbanding tahun lalu, saya hanya menerima satu tempahan sahaja disebabkan masjid ditutup semasa wabak melanda.
“Satu tempahan itu pun hanya diterima semasa Hari Raya. Saya tidak menerima tempahan dari masjid waktu itu kerana tiada solat tarawih boleh dilakukan,” katanya.
Menurut Taufik, pelanggannya bukan sahaja dari Banyumas, tetapi dia juga mendapat tempahan dari Cilacap, Brebes dan Jakarta.
Katanya, dia menghasilkan beduk pelbagai ukuran dengan harga bermula dari 2 juta rupiah (RM564) hingga 45 juta rupiah (RM12,710).
Beduk yang dihasilkannya diperbuat dari kulit lembu dan biri-biri serta mampu bertahan selama 15 tahun.