JAKARTA: Pelaksanaan solat tarawih secara berjemaah di masjid hanya boleh dilakukan di daerah yang bertstaus zon kuning dan hijau.
Lapor Kompas.com, Setiausaha Direktorat Bimbingan Masyarakat Islam di Kementerian Agama, Fuad Nasar berkata, ketetapan itu selaras dengan Surat Edaran Menteri Agama mengenai panduan ibadah semasa bulan puasa dan Aidilfitri.
“Solat tarawih, witir, tadarus al-Quran dan iktikaf hanya boleh dilakukan di masjid atau surau yang berada dalam zon aman iaitu zon kuning dan hijau.
“Kesemua ibadah itu tidak boleh dilakukan di kawasan berstatus zon merah kerana dikhuatiri meningkatkan penularan jangkitan Covid-19,” katanya.
Selain itu, Fuad juga mengingatkan terdapat beberapa garis panduan yang perlu diberi keutamaan dalam menunaikan ibadah sepanjang Ramadan di zon aman.
Katanya, yang pertama, solat lima waktu, tarawih, tadarus perlu dilakukan dengan jumlah jemaah yang terhad dengan minimum sebanyak 50 peratus daripada kapasiti masjid atau surau.
“Jemaah juga perlu mematuhi peraturan Covid-19 yang ditetapkan termasuk menjaga jarak sosial dan membawa sejadah masing-masing,” ujarnya.
Dalam pada itu, Fuad memberitahu, ceramah agama dan kuliah Subuh juga boleh dilakukan selama 15 minit untuk setiap sesi, selain jemaah tidak dibenarkan berbuka puasa di masjid.
Sementara itu, solat Aidilfitri boleh dilaksanakan di masjid atau ruang terbuka dengan mematuhi protokol Covid-19.