JAKARTA: Sudah lebih tempoh 72 jam, namun kapal selam KRI Nanggala-402 masih belum ditemukan dan nasib kesemua 53 anak kapal di dalamnya juga tidak diketahui.
Lapor CNN Indonesia, operasi pencarian kapal selam itu kini difokuskan kepada sembilan titik utama termasuk kesan tumpahan minyak dan isyarat magnet yang ditemukan sebelum ini.
Ketua Pusat Penerangan Tentera Nasional Indonesia (TNI), Achmad Riad berkata, usaha pencarian masih diteruskan biarpun sudah melangkaui masa yang sepatutnya.
“Memang kita jangkakan bekalan oksigen bertahan selama 72 jam dan kapal itu perlu ditemukan awal pagi ini, namun usaha pencarian belum berhasil.
“Kami berharap apa jua keadaan sekali pun, kapal selam itu dapat ditemukan dan sudah tentu kami harapkan kesemua anak kapal selamat,” katanya.
KRI Nanggala-402 terputus hubungan selepas melakukan latihan torpedo pada Rabu lalu.