JAKARTA: Seorang penduduk di Jalan Salah, Taman Kelurahan, bandar Madiun merupakan salah seorang daripada 53 anak kapal yang hilang di utara Bali, Rabu lalu.
Lapor Kompas.com, Serda Diyut dimaklumkan sempat pulang ke rumah di Madiun sebelum kejadian berlaku.
Isterinya, Helen berkata, setelah empat hari berada di rumah, suaminya bergerak ke Surabaya bagi melakukan pelayaran kapal selam milik Angkatan Laut Tentera Indonesia (TNI), KRI Nanggala-402.
Helen sempat menghantar suaminya ke terminal, malah, suaminya sempat meluahkan rasa tidak sedap hati untuk melakukan pelayaran kali ini.
Beberapa kali Serda meminta isterinya mendoakan perjalanannya kali ini.
Bagaimanapun, Helen tetap meyakinkan suaminya untuk menjalankan tugas yang diberikan.
“Semasa mahu berlayar, dia hanya meminta saya mendoakannya. Berkali-kali dia pesan sebelum berangkat, sedangkan sebelum ini tidak pernah seperti itu,” luahnya.
Menurut Helen, kali terakhir dia berhubung dengan suaminya adalah Selasa lalu untuk mengingatkan suaminya bersahur.
“Pagi Rabu saya mahu mengejutkan dia bersahur dengan menghantar mesej di telefon. Namun, WhatsApp itu tidak sampai kepadanya. Selepas itu, saya mendengar berita mengenai kapal selam yang hilang,” kongsinya.
Seperti harapan keluarga anak kapal lain, Helen menanti penuh setia berita mengenai suaminya.
Dia berharap suaminya dan kru lain ditemui selamat dan berada dalam keadaan baik.