JAKARTA: Solat Sunat Hari Raya Aidilfitri semasa pandemik Covid-19 sebaik-baiknya dilakukan di rumah bersama keluarga.
Lapor Kompas.com, perkara itu dicadangkan oleh Setiausaha Agong Majlis Ulama Indonesia (MUI), Amirsyah Tambunan kerana ibadah itu menyebabkan perhimpunan ramai orang sekali gus mendatangkan risiko jangkitan wabak tersebut.
Malah katanya, amalan kunjung mengunjung semasa hari raya boleh dilakukan secara dalam talian tanpa bertemu secara langsung dengan ahli keluarga.
“Ini akan mendatangkan suasana yang baik dalam kalangan keluarga serta terhindar daripada aktiviti berhimpun dalam masyarakat,” katanya.
Amirsyah berkata, Ramadan tahun ini perlu dijadikan momentum untuk menurunkan penyebaran virus Covid-19.
Jelasnya, lonjakan kes di India perlu dijadikan pengajaran oleh Indonesia.
“Kerajaan juga perlu meneruskan peningkatan program vaksinasi supaya dapat mencapai sasaran 70 peratus individu yang sudah divaksinkan,” ujarnya.