SINGAPURA: Biro Narkotik Pusat (CNB) Singapura berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih 2.3 juta dolar Singapura (RM7.12 juta).
Rampasan dadah itu termasuk kira-kira 23 kilogram (kg) kanabis dan 16kg heroin.
Jumlah kanabis dan heroin yang dirampas itu merupakan rampasan terbesar CNB masing-masing sejak tahun 1996 dan 2001.
Menurut CNB, sebanyak 23,687 gram kanabis, 16,548 gram heroin, 2,033 gram dadah jenis `ice’ dan 110 pil ekstasi dirampas dalam serbuan pada Jumaat lalu.
Jelas CNB, seorang lelaki warga Malaysia ditahan di kawasan Choa Chu Kang Avenue 4.
CNB memberitahu sebanyak empat bungkusan mengandungi 3.9 kg kanabis dirampas daripada lelaki tersebut.
Kata agensi tersebut, lelaki itu kemudian dibawa semula ke tempat persembunyian iaitu di kawasan sama dan pegawai turut melakukan serbuan di rumahnya.
“Sebanyak lapan bungkusan mengandungi 3,782 gram heroin dan dua bungkusan melibatkan 2,033 gram Ice dan 110 pil ekstasi dirampas dari bilik tidurnya.
“Sejumlah 27 bungkusan mengandungi kira-kira 12,766 gram heroin dan 20 bungkusan melibatkan hampir 19,772 gram kanabis dirampas lagi dari bilik stor,” jelas CNB. – AGENSI