LONDON: Seorang wanita yang melahirkan bayi lelaki tanpa kaki dengan satu tangan kudung mendedahkan dia tidak pernah menyesal melahirkan anaknya biarpun keadaan fizikal bayi itu tidak sempurna.
Lapor Daily Mail, Rosie Higgs berkata, ketika hamil dia tidak pernah berniat untuk menggugurkan kandungannya meskipun dimaklumkan bahawa anaknya, Henry mungkin mengalami Amniotic Band Syndrome.
Malah, kata Higgs, dia mengendahkan segala pertanyaan keluarga dan rakan-rakannya mengenai kandungannya dan bertekad untuk melahirkan zuriatnya.
Higgs berkata, keputusan yang diambil pada ketika itu adalah terbaik yang pernah dilakukan dalam hidupnya.
Jelasnya, Henry sebelum ini pernah menjalani pembedahan di Hospital Great Ormond Street untuk memisahkan tangan kudungnya.
“Saya begitu kecewa apabila diberitahu bahawa bayi saya hanya akan mempunyai satu tangan dan tanpa kaki.
“Namun, pada masa itu, saya memang bertekad untuk melahirkan bayi saya tanpa mengira apa jua situasi pun dan nasihat yang telah diberikan,” katanya.
Menurut Higgs, anaknya menunjukkan prestasi yang baik hari demi hari dan dia tidak perlu bimbang lagi mengenai masa depannya.