LONDON: Insiden seorang pelajar sekolah yang meninggal dunia ketika bermain bola sepak besar kemungkinan disebabkan kasut bola yang dipakai mangsa bersaiz besar.
Lapor Daily Mail, ketika kejadian, Yasir Hussain, 10, yang merupakan penjaga gol, cedera ketika cuba menahan bola dari masuk ke gawang sehingga menyebabkannya terjatuh dan kepalanya terhentak.
Yasir dilaporkan meninggal dunia pada 12 November tahun lalu selepas lima hari bertarung nyawa di Hospital Kanak-Kanak Birmingham.
Menurut anggota perubatan, Zahira Mabine yang ketika itu berada di lokasi kejadian, kasut bersaiz besar yang dipakai oleh Yasir mungkin boleh menjadi salah satu punca menyebabkan dia terjatuh.
“Saya diberitahu bahawa kasut itu diminta oleh Yasir dan sebab itulah ia dibelikan namun tidak pasti mengapa ia sangat besar.
“Ketika itu, saya membersihkan kaki Yasir kerana kotor terkena lumpur dan saya melihat kasut itu terlalu besar untuknya,” katanya pada sesi prosiding inkues.
Jelas Zahira, dia sudah memaklumkan perkara itu kepada ibu dan nenek Yasir yang datang ke sekolah selepas mengetahui mengenai kecederaan anaknya.
“Saya telah memaklumkan perkara itu kepada mereka, saya juga memberitahu amat penting untuk memakai saiz kasut yang sesuai kerana jika tidak ia boleh menyebabkannya jatuh,” katanya.
Tambah Zahira, selepas kejadian itu, dia memeriksa badan Yasir dan mendapati terdapat kesan benjolan di bahagian kanan kepala pelajar lelaki itu.