RUU had kuasa presiden AS diluluskan - Utusan Malaysia

RUU had kuasa presiden AS diluluskan

PENDUDUK memegang sepanduk menyatakan sokongan mereka untuk menarik balik larangan perjalanan ke atas rakyat daripada majoriti negara Islam untuk mengunjungi AS, pada tahun lalu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) meluluskan rang undang-undang (RUU)  yang mengehadkan kuasa mana-mana presiden di negara ini mengenakan larangan perjalanan terhadap rakyat atas dasar agama.

Keputusan itu disambut baik oleh para aktivis hak sivil yang menyifatkannya sebagai satu langkah ke hadapan.    

Lapor Reuters, rang undang-undang itu diluluskan selepas memperoleh 208-218 undian di Dewan Perwakilan. 

Bagaimanapun, rang undang-undang itu harus mendapat kelulusan di Senat untuk dikuatkuasa sebagai undang-undang. 

“Larangan ini memisahkan keluarga dan melabel penduduk Islam, Afrika dan individu yang disasarkan sebagai mengancam.    

“Malah, dengan kelulusan Akta Tiada Larangan di Dewan Perwakilan, kita mengambil satu langkah ke hadapan yang penting untuk memastikan perkara seperti itu tidak berlaku lagi,” kata Penasihat Muslim Advocates, Madihha Ahussain dalam satu kenyataan.  

Undang-undang itu yang secara tidak rasmi dikenali Akta Tiada Larangan, merupakan tindak balas terhadap larangan perjalanan ke atas warga Islam yang dilaksanakan oleh bekas Presiden, Donald Trump.    

Pada tahun 2017, Trump dilaporkan mengenakan larangan ke atas rakyat daripada kebanyakan negara Islam untuk mengunjungi AS.

Larangan itu dikenakan terhadap penduduk dari Iran, Iraq, Libya, Somalia, Sudan, Syria, Yemen, Korea Utara, Venezuela daripada mengunjungi negara itu.

Pada tahun lalu, pentadbiran Trump melanjutkan larangan itu ke atas penduduk dari Myanmar, Eritrea, Kyrgyzstan, Nigeria, Sudan dan Tanzania.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya