SAINT PETERSBURG: Rusia mengarahkan seorang diplomat warga Ukraine meninggalkan negara itu sebelum 22 April ini.
Arahan itu selepas Rusia mendakwa diplomat Ukraine terbabit cuba mendapatkan maklumat rahsia mengenai negara tersebut.
Pengusiran diplomat itu secara tidak langsung mendorong tindak balas dari Ukraine ketika ketegangan di sempadan semakin reda.
Menurut agensi Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan Russia (FSB), Oleksandr Sosoniuk ditahan ketika cuba mengakses maklumat daripada pangkalan data penguatkuasaan undang-undang negara dalam satu pertemuan dengan seorang rakyat Rusia.
Kementerian Luar memberi tempoh selama 72 jam kepada Sosoniuk untuk meninggalkan Rusia.
Dalam pada itu, kerajaan Ukraine pula mengusir seorang diplomat Rusia yang berada di Kyiv.
Kementerian Luar Ukraine memaklumkan Sosoniuk ditahan selama beberapa jam sebelum dibenarkan pulang semula ke bangunan kedutaan di St. Petersburg.
Jelas kementerian, pihaknya menyifatkan penahanan itu sebagai provokasi dari Rusia.
“Kami menafikan tuduhan yang dilemparkan terhadap pegawai konsular terbabit,” jelas kementerian dalam satu kenyataan. – REUTERS