RIYADH: Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz al Saud memperkenankan pelaksanaan solat tarawih di Masjidilharam di Mekah dan Masjid Nabawi di Madinah sepanjang Ramadan.
Namun, solat sunat itu hanya boleh dilakukan sebanyak 10 rakaat sebagai langkah mengurangkan penularan Covid-19.
Lapor Arab News, Ketua Presiden Hal Ehwal Dua Masjid Suci, Sheikh Abdul Rahman al-Sudais berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan budi bicara Raja Salman dan memberi peluang kepada para jemaah menghayati Ramadan dengan pematuhan protokol Covid-19.
Katanya, pihak berkuasa akan menyalurkan semua bantuan serta maklumat kepada para jemaah dan pengunjung di kedua-dua masjid berkenaan.
Dalam pada itu, Kementerian Hal Ehwal Agama Islam mengumumkan solat tarawih dan qiyaam akan digabungkan dengan solat Isyak di semua masjid di seluruh Arab saudi dan seharusnya tidak melebihi tempoh 30 minit.
Langkah itu diambil bagi mengurangkan masa yang perlu diambil oleh para jemaah untuk menunaikan solat di masjid, sekali gus mengurangkan kadar jangkitan koronavirus.
Terdahulu, pihak berkuasa Arab Saudi menetapkan hanya jemaah yang sudah disuntik sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 dibenarkan memasuki Masjidilharam dan Masjid Nabawi.