LONDON: Putera William dan adindanya, Putera Harry dilihat berjalan bersama selepas menghadiri majlis pengebumian mendiang datuk mereka, Putera Philip di Istana Windsor.
Situasi itu sekali gus mencuri perhatian ramai di sebalik kontroversi yang terpalit dalam hubungan keluarga diraja itu, lapor CNN.
Keluarga diraja itu mematuhi perintah kawalan Covid-19 yang ketat semasa upacara pengebumian Duke of Edinburgh dan Ratu Elizabeth II dilihat duduk secara bersendirian.
Manakala, Duke of Sussex dan Duke of Cambridge dilihat duduk bertentangan antara satu sama lain di gereja St. George.
William duduk bersebelahan isterinya, Catherine, sementara, Harry duduk berasingan.
Upacara itu menyaksikan buat kali pertama, Harry menghadiri acara rasmi bersama ahli keluarganya sejak temubual kontroversi bersama isterinya, Meghan Markle yang dihoskan oleh Oprah Winfrey.
Acara rasmi terakhir yang dihadiri oleh Duke of Sussex itu adalah Hari Komanwel tahunan di Westminster Abbey, dua tahun lalu.
Selepas upacara itu tamat, Ratu Elizabeth II meninggalkan kawasan itu dan menuju ke Bentley, manakala, kerabat diraja lain berjalan kaki ke Istana Windsor.
Harry dan William dilihat berjalan bersama semasa kerabat diraja lain meninggalkan gereja tersebut.
Meghan, Duchess of Sussex tidak dapat menghadiri upacara itu kerana mengandung anak kedua serta dinasihatkan tidak melakukan penerbangan dari California ke United Kingdom.
Pasangan itu berkahwin di gereja yang sama pada 2018.