LONDON: Dua personaliti YouTube memperdaya orang ramai dengan memuat naik beberapa gambar rumah anak patung mendakwanya sebagai rumah penginapan untuk disewa di platform Airbnb.
Lapor Daily Mail, Josh Pieters dan Archie Manners dari London melakukan prank tersebut bagi menguji sama ada pengendali penginapan dalam talian itu menyemak senarai mereka.
Kedua-dua lelaki itu juga menerangkan teknik fotografi ketika mengambil gambar sehingga menjadikan rumah anak patung itu kelihatan seperti kediaman townhouse abad ke-18 yang mewah.
Mereka turut memuat naik gambar rumah anak patung di laman Airbnb dengan memaklumkan penginapan untuk disewa pada harga 87 pound (RM498.95) bagi satu malam di Clapham.
Sebelum mengambil gambar, Pieters dan Manners memasukkan sekeping kad bank serta botol air di beberapa bahagian rumah anak patung berkenaan hanya untuk menunjukkannya ia adalah palsu.
Bagaimanapun, mereka mendakwa Airbnb menerima gambar yang dimuat naik di platform tersebut.
Malah, kata mereka, beberapa pelanggan juga terpedaya dengan gambar rumah anak patung itu sehingga mendapat tempahan berjumlah lebih 3,000 pound (RM17,205).
Warganet pula menggesa personaliti YouTube itu menghasilkan dan memuat naik video susulan yang menunjukkan respon Airbnb terhadap prank tersebut.