ABUJA: Lebih 1,800 banduan melarikan diri dari sebuah penjara di Nigeria selepas diserang oleh kumpulan bersenjata.
Lapor BBC, kumpulan bersenjata itu menyerbu kawasan penjara yang terletak di tenggara bandar Owerri pada awal pagi kelmarin selepas meletupkan blok pentadbiran dengan menggunakan bahan peledak.
Sebanyak enam banduan dilaporkan menyerah diri manakala 35 lagi enggan melarikan diri.
Polis mendakwa kumpulan pemisah, Penduduk Asli Biafra bertanggungjawab atas serangan itu.
Kumpulan pemisah itu bagaimanapun menafikan terlibat dalam serangan tersebut.
Agensi Pusat Pemulihan Nigeria mengesahkan sebanyak 1,844 banduan melarikan diri dari penjara di negeri Imo.
Menurut agensi tersebut, kumpulan bersenjata itu tiba di penjara tersebut dengan menaiki lori dan bas.
Seorang jurucakap polis memberitahu, penyerang membawa bom tangan roket, mesingan, bahan letupan dan senapang.
Dalam pada itu, Presiden Muhammadu Buhari menyifatkan serangan itu sebagai tindakan keganasan yang dilakukan oleh pihak ‘anarki’.
Beliau juga menggesa pasukan keselamatan untuk menahan kumpulan bersenjata dan banduan yang melepaskan diri. – AFP/AGENSI