BAITULMUQADDIS: Varian koronavirus yang ditemukan di Afrika Selatan dilaporkan dapat ‘menembusi kekebalan’ vaksin Covid-19 dihasilkan Pfizer-BioNTech sehingga ke sesuatu tahap tertentu.
Penemuan itu berdasarkan satu kajian data nyata dunia (RWD) yang dijalankan di Israel, walaupun kadar kelazimannya amat rendah serta kajian itu masih belum diteliti semula.
Kajian tersebut membandingkan hampir 400 orang yang disahkan positif Covid-19, kira-kira 14 hari atau lebih selepas menerima satu dos atau dua dos suntikan vaksin, berbanding jumlah sama individu yang dijangkiti wabak dan belum divaksin lagi.
Antara ciri sama yang lain adalah umur dan jantina.
Menurut kajian oleh Universiti Tel Aviv dan syarikat penjagaan kesihatan terbesar Israel, Clalit, varian Afrika Selatan, B1351 merangkumi kira-kira satu peratus daripada semua individu dijangkiti Covid-19 yang dikaji.
Bagaimanapun, dalam kalangan individu yang menerima dua dos suntikan vaksin, kadar kelaziman varian adalah lapan kali lebih tinggi berbanding mereka yang tidak divaksin.
Jelas penyelidik, ia juga mencadangkan vaksin tersebut kurang berkesan menentang varian Afrika Selatan berbanding virus koronavirus asal dan varian pertama ditemui di Britain yang melibatkan hampir semua kes Covid-19 di Israel.
“Kami mendapati kadar tinggi yang tidak seimbang dalam kalangan individu menerima dos kedua suntikan vaksin berbanding yang tidak divaksin.
“Ini bermakna varian Afrika Selatan itu mampu melepasi perlindungan vaksin hingga suatu tahap tertentu,” katan Adi Stern dari Universiti Tel Aviv.
Awal bulan ini, Pfizer dan BioNtech memaklumkan vaksin Covid-19 keluarannya berkesan melawan virus koronavirus varian Afrika Selatan berdasarkan keputusan fasa terbaharu ujian klinikal yang dilakukannya. – REUTERS