CIANJUR: Polis menahan sembilan remaja di daerah Cianjur, Jawa Barat selepas mereka didakwa terlibat dalam ‘perang kain sarung’.
Lapor Kompas.com, polis turut merampas lima buah motosikal dan dua kain sarung yang sudah diubah suai dengan satu daripadanya menyerupai cemeti.
Ketua Polis Cianjur, Ahmad Suprijatna berkata, kesemua remaja yang berusia antara 14 hingga 18 tahun itu ditahan ketika ingin memulakan ‘peperangan’.
“Kesemua remaja itu diserahkan kepada ibu bapa masing-masing kerana mereka masih di bawah umur.
“Sehingga kini, sebanyak tiga kejadian perang kain sarung dilaporkan sejak Ramadan bermula,” katanya.
Jelas Ahmad, perang kain sarung itu merupakan tradisi untuk golongan kanak-kanak bermain ketika bulan puasa.
Namun, tradisi itu dilihat semakin berbahaya apabila ada pihak mengubah suai kain sarung dengan niat mendatangkan kecederaan.