PARIS: Perancis bakal mengenakan perintah kuarantin wajib selama 10 hari terhadap pengunjung yang tiba dari negara Argentina, Brazil, Chile dan Afrika Selatan.
Pejabat Perdana Menteri menerusi kenyataan menjelaskan langkah itu bagi mencegah beberapa varian baharu Covid-19 yang dilaporkan kes jangkitannya semakin meningkat.
Walaupun penerbangan dari Argentina, Chile dan Afrika Selatan tidak digantung ketika ini, semua pengunjung yang tiba dari negara berkenaan perlu menjalani tempoh kuarantin atau akan didenda.
Penerbangan dari Brazil digantung sehingga Jumaat depan disebabkan kebimbangan kes Covid-19 varian P1 yang dikatakan lebih mudah berjangkit daripada strain asal dan boleh menjangkiti semula individu yang terkena virus asal sebelum ini.
Berhubung keputusan untuk tidak melarang penerbangan dari tiga negara lain, Paris memaklumkan varian tersebut belum mencapai tahap seperti di Brazil.
Perintah kuarantin baharu ini akan mula dilaksanakan secara beransur-ansur dalam tempoh beberapa hari lagi sehingga dikuatkuasakan sepenuhnya pada Sabtu depan.
Perintah baharu ini juga akan menyekat kemasukan pelawat dari beberapa negara terutamanya rakyat Perancis dan keluarga mereka serta warga Kesatuan Eropah (EU) dan penduduk tetap Perancis.
Tambah kenyataan itu, pengunjung yang tiba dari Pulau Guyane dan Antillen juga harus menjalani ujian saringan sebelum dan selepas penerbangan. – AFP