Pelayaran abadi Nanggala-402 - Utusan Malaysia

Pelayaran abadi Nanggala-402

SEBAHAGIAN anak kapal selam KRI Nanggala-402 merakam gambar kenangan di Banyuwangi, Jawa Timur, Indonesia. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Seluruh rakyat Indonesia berdukacita atas insiden yang menimpa kapal selam KRI Nanggala-402, menyaksikan kesemua 53 anak kapalnya terkorban selepas kapal itu hilang dan tenggelam pada Rabu lalu.

Susulan kejadian itu, Nanggala kini diletakkan dalam status ‘on eternal patrol‘ atau ‘patrol abadi’.

Istilah yang digunakan sejak era Perang Dunia Kedua itu digunakan bagi menggambarkan keadaan kapal selam yang tidak akan beroperasi lagi selepas terlibat dalam kecelakaan seperti tenggelam, meletup atau rosak.

Pengguna media sosial negara ini turut menggunakan #oneternalpatrol sebagai memperingati kejadian yang menimpa kapal selam itu dan kesemua anak kapalnya.

Kebanyakannya menzahirkan rasa sedih dan memberi penghormatan terhadap jasa serta pengorbanan anak kapal dalam kesediaan mempertahankan negara sehingga nyawa jadi pertaruhan.

Kelmarin, Panglima Tentera Nasional Indonesia (TNI), Marsyal Hadi Tjahjanto mengesahkan kesemua anak kapal selam tersebut maut berdasarkan beberapa bukti kukuh yang diperoleh pasukan penyelamat.

Berdasarkan visual bawah air yang dirakam oleh kenderaan dalam air kawalan jauh (ROV) milik kapal Singapura, MV Swift Rescue, kapal selam itu tenggelam pada kedalaman 838 meter dan pecah kepada tiga bahagian.

 

Bukan kecuaian manusia

Ketua Staf TNI Angkatan Laut (KSAL), Laksamana Yudo Margono memberitahu, berdasarkan analisis awal, insiden yang berlaku terhadap Nanggala bukan berpunca daripada kecuaian manusia.

Malah, beliau juga menolak kemungkinan kapal selam itu tenggelam kerana masalah terputus bekalan tenaga (black out).

“Berdasarkan penilaian awal yang dilakukan, saya yakin insiden yang  berlaku terhadap Nanggala bukan berpunca daripada kecuaian manusia dan lebih kepada faktor alam.

“Saya juga yakin bahawa kapal selam itu mengikut prosedur yang betul selama melakukan latihan ketenteraan,” katanya kepada Kompas.com.

Selain itu, Yudo menyatakan kapal selam itu tidak mengalami masalah terputus bekalan tenaga kerana semua lampu Nanggala masih beroperasi ketika melakukan selaman.

Namun, penelitian dan siasatan lanjut perlu dilakukan bagi mengenal pasti punca tragedi tersebut.

“Kita perlu membawa keluar bangkai Nanggala untuk melakukan pemeriksaan teliti, seterusnya mengetahui punca sebenar,” ujarnya.

 

Kerjasama dengan ISMERLO

Dalam pada itu, Yudo memaklumkan pihaknya akan bekerjasama dengan 

International Submarine Escape and Rescue Liaison Office (ISMERLO) mengenai usaha mengeluarkan Nanggala yang tenggelam di perairan Bali.

Katanya, Angkatan Laut Indonesia akan berunding dengan ISMERLO mengenai langkah seterusnya bagi membolehkan bangkai Nanggala dikeluarkan untuk diperiksa.

“Diketahui Nanggala tenggelam pada kedalaman lebih 800 meter dan usaha mengeluarkan bangkai kapal selam itu perlu dirancang serta disusun dengan teliti bagi mengelak sebarang kemungkinan tidak diingini berlaku.

“Setakat ini, kami tidak dapat maklumkan berapa lama proses mengeluarkan bangkai kapal selam itu akan dilakukan,” jelasnya.

 

Kenaikan pangkat

Presiden Joko Widodo (Jokowi) menzahirkan rasa sedih atas tragedi yang berlaku terhadap kesemua kapal selam Nanggala.

Beliau menyifatkan 53 anak kapal tersebut sebagai perajurit terbaik bangsa Indonesia.

“Pengorbanan semua anak kapal Nanggala akan dikenang dan terpahat di sanubari masyarakat Indonesia,” katanya.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan kerajaan Indonesia akan menganugerahkan Bintang Jalasena dan kenaikan pangkat untuk semua anak kapal selam berkenaan.

Selain itu, kerajaan juga akan membiayai pendidikan anak-anak kru Nanggala.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya