DHAKA: Pelarian Rohingya menyambut ketibaan bulan Ramadan dengan penuh kesunyian dan terasing di pulau Bhashan Char apabila ribuan pelarian dipindahkan oleh pihak berkuasa Bangladesh ekoran kesesakan kem di Cox’s Bazar.
Lebih 18,500 umat Islam Rohingya ditempatkan semula di pulau terpencil di Laut Bengal sejak Disember tahun lalu, di sebalik kritikan daripada kumpulan aktivis dan Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung kemampuan kawasan itu daripada ditimpa cuaca buruk dan musibah banjir.
Kerajaan Bangladesh menerangkan pihaknya sudah membina perumahan dan infrastruktur asas kepaada 100,000 pelarian di pulau itu.
Langkah itu bagi menampung kesesakan kem pelarian Cox’s Bazar yang menempatkan lebih 1.1 juta etnik Rohingya akibat ditindas di Myanmar.
Walaupun pihak berkuasa memaklumkan pemindahan itu dilakukan secara sukarela dan pelarian Rohingnya menzahirkan kegembiraan untuk memulakan kehidupan baharu di pulau tersebut, tidak dinafikan segelintir daripada mereka masih dibelenggu rindu kem lama.
Lebih-lebih lagi semasa bulan Ramadan yang secara tradisinya adalah masa untuk bersama semua etnik Rohingya lain.
LUAHAN PELARIAN
Bagi pelarian di Bhasan Char, Mohammad Alam, 37, dia dilanda kesunyian kerana adik beradik, ibu bapa dan kebanyakan rakan-rakannya masih berada di kem lama di Cox’s Bazar.
“Semasa bulan puasa tahun lalu, kami dapat berkumpul bersama-sama dan menjalankan aktiviti bersama ahli keluarga. Namun, sekarang saya hanya mampu berhubung dengan ahli keluarga menerusi panggilan telefon dan saya tidak pasti bila dapat berjumpa mereka semula.
“Ramadan adalah bulan yang sangat istimewa bagi kami sebagai orang Islam dan kami seronok untuk tinggal bersama dengan rakan dan keluarga,” luahnya.
Dalam pada itu, ibu kepada tiga anak, Khaleda Begum, 20, berkata, sambutan Ramadan di kem Bhashan Char lebih sukar berbanding di kem lama.
“Saya pernah berkhidmat sebagai sukarelawan bagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Cox’s Bazar serta menerima AS$150 (RM600) gaji bulanan. Malah, dengan bantuan itu saya mampu menyediakan makanan berkhasiat kepada keluarga dengan pendapatan yang diperoleh.
“Namun, saya tiada pendapatan langsung di sini dan tidak boleh merancang sebarang menu isitimewa untuk keluarga sepanjang bulan mulia ini. Saya terpaksa bergantung kepada bantuan NGO.
“Kami dapat beras, minyak, bawang dan gula daripada bantuan agensi. Namun, anak saya teringin makan ikan atau ayam. Kadang-kadang saya terpaksa menjual semula bantuan yang diterima di pasar tempatan dan berusaha membeli beberapa ekor ikan yang sukar didapati,” kongsinya.
Sementara itu, Mohammad Asad, 37, yang ditempatkan di kem baharu bersama lapan ahli keluarga yang lain berkata, mendapatkan bekalan makanan berkhasiat menjadi keutamaannya semasa Ramadan.
“Tahun lalu, kami dapat pelbagai makanan dan kuantitinya juga mencukupi. Namun, sekarang kami hanya menerima makanan yang sedikit yang menyukarkan keluarga saya.
“Kami tidak dibenarkan bergerak jauh dari kem pelarian. Oleh kerana ia adalah sebuah pulau yang tidak mempunyai ruang mencukupi, kami juga hampir terkurung dalam kawasan tertentu,” ujarnya.
BANTUAN NGO
Kerajaan Bangladesh berkata, pihaknya menguruskan pakej makanan Ramadan bagi pelarian di Kem Bhashan Char dengan bantuan NGO seperti Islamic Relief Bangladesh, Human Appeal, Persatuan Bulan Sabit Merah Bangladesh dan Qatar Charity.
Jawatankuasa Bantuan dan Pemulangan Pelarian di kem tersebut, Mohammad Khalilur Rahman menjelaskan pihaknya mempunyai data semua ahli keluarga yang tinggal di sini dan setiap daripada mereka menerima pakej istimewa sempena Ramadan.
“Kami turut mempertimbangkan hadiah istimewa semasa perayaan Aidilfitri nanti bagi penduduk Rohingnya di pulau ini,” katanya.