JAKARTA: Menteri Setiausaha Negara (Mensesneg), Pratikno memaklumkan pengumuman dan pelantikan menteri baharu hari ini bukan rombakan Kabinet secara besar-besaran.
Kenyataan itu sekali gus menafikan berita yang mendakwa kononnya akan berlaku rombakan Kabinet kedua Jokowi-Maruf Amin yang tersebar luas dalam kalangan masyarakat.
Lapor Kompas.com, pelantikan itu hanya melibatkan perubahan nama beberapa kementerian sahaja.
Hal ini katanya, menteri yang akan dilantik itu adalah sama dengan menteri atau ketua lembaga kementerian itu sendiri.
“Menteri yang akan dipilih itu ialah Ketua Koordinasi Lembaga Pelaburan, Bahlil Lahadalia yang dilantik menjadi Menteri Pelaburan.
“Nadiem Makarim dijangka dilantik sebagai Menteri Pendidikan dan Kebudayaan, Penyelidikan dan Teknologi,” katanya.
Menurut Pratikno, pelantikan Bahlil dan Nadiem mengikuti perubahan yang diluluskan oleh Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), 9 April lalu.
Sebelum ini, semasa penutupan mesyuarat Parlimen yang bersidang 9 April lalu di Kompleks Parlimen, Senayan, DPR bersetuju perubahan nama tiga kementerian iaitu Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan, Kementerian Penyelidikan dan Teknologi serta Kementerian Pelaburan.
Sementara itu, Ketua Agensi Inovasi dan Penyelidikan Kebangsaan, Bambang Brogjonegoro dilaporkan meletakkan jawatan.
Tugas beliau akan digantikan oleh Laksana Tri Handoko yang merupakan Ketua Institut Sains Indonesia.