AUCKLAND: Pihak berkuasa New Zealand memaklumkan seorang pekerja di Lapangan Terbang Auckland disahkan positif Covid-19.
Namun, masih diragui sama ada kes baharu itu berpunca daripada kebenaran merentas perjalanan antara Australia dan New Zealand.
Kedua-dua negara itu melaksanakan gelembung perjalanan pada Isnin selepas penutupan pintu sempadan sejak Mac tahun lalu kepada semua penduduk tetap dan bukan warganegara bagi membendung penularan wabak Covid-19.
Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern berkata, apabila pintu sempadan di kedua-dua negara dibuka, sudah tentu akan berlaku kes jangkitan di kawasan sempadan.
“Kami terima ia sebahagian daripada perjalanan kita bersama, saya rasa Australia turut menerima perkara itu,” katanya.
Ardern berkata, pihak berkuasa kesihatan New Zealand sudah berhubung dengan Australia mengenai perkara itu dan gelembung perjalanan tidak akan dihentikan sama sekali.
Jelasnya, pekerja yang mendapat jangkitan itu sudah menerima suntikan vaksin sepenuhnya dan ditugaskan membersihkan kapal terbang.
“Pekerja itu dilaporkan negatif Covid-19 pada 12 April lalu. Namun, disahkan positif semalam semasa ujian calitan yang dilakukan secara rutin dan pengesanan kontak rapat sedang giat dijalankan,” katanya.
Penutup pintu sempadan, perintah berkurung dan kepantasan sistem pengesanan kontak rapat membantu Australia dan New Zealand menjadikan kes jangkitan wabak itu semakin rendah.
Australia merekodkan kes keseluruhan virus itu sebanyak 29,500 kes dengan 910 kematian, manakala, New Zealand hanya mencatatkan 2,200 kes keseluruhan dengan 26 kematian sejak pandemik bermula. -REUTERS