ISLAMABAD: Kerajaan Pakistan mengemukakan cadangan kepada Kabinet Persekutuan untuk melarang parti berteraskan agama, Tehreek-e-Labaik (TLP) selepas pembunuhan dua anggota polis.
Lapor Arab News, serangan terhadap pihak berkuasa itu secara jelas mengganggu gugat ketenteraman awam menerusi protes yang diadakan di seluruh negara.
Demonstrasi tercetus di kebanyakan bandar utama di Pakistan sebelum bertukar menjadi ganas selepas pemimpin TLP, Saad Rizvi ditahan.
Menteri Dalam Negeri, Sheikh Rashid Ahmed dalam sidang akhbar berkata, peserta protes membunuh dua anggota polis serta mencederakan 340 orang semasa serangan ganas tersebut.
“Kami memutuskan untuk mengenakan larangan terhadap parti TLP. Fail itu sudah dihantar kepada Kabinet Persekutuan bagi kelulusan secara rasmi.
“Anggota polis yang diculik oleh penunjuk perasaan telah kembali ke balai polis masing-masing. Mereka turut menghalang ambulans dan bekalan oksigen ke hospital selepas gelombang ketiga Covid-19 melanda negara,” katanya.
Menurut Sheikh Rashid, pihak kementerian turut mengadakan rundingan dengan peserta protes dan menegaskan tuntutan mereka tidak akan dilayan.
Ahad lalu, sehari sebelum pemimpin TLP, Rizvi diberkas, pihaknya memberikan ancaman terhadap kerajaan untuk mengadakan tunjuk perasaan sekiranya Duta Besar Perancis ke Islamabad tidak diusir berhubung karikatur yang menghina Nabi Muhammad SAW.
Ia susulan tindakan Perancis menyokong hak sebuah majalah untuk menerbitkan semula karikatur Nabi Muhammad SAW.