WASHINGTON: Pihak berkuasa Ohio mengeluarkan lebih banyak lagi rakaman video kamera badan membabitkan insiden seorang remaja perempuan kulit hitam maut ditembak anggota polis di Colombus.
Lapor CNN, mangsa dikenali sebagai Ma’khia Bryant dan berusia 16 tahun.
Beberapa siri klip video kamera badan polis menunjukkan remaja perempuan itu sedang memegang sebilah pisau ketika bertengkar dengan seorang wanita.
Seorang pegawai polis kemudian tiba di tempat kejadian dan melepaskan tembakan apabila remaja itu cuba menikam seorang lagi wanita.
“Dia hanya seorang budak,” kata seorang lelaki di lokasi kejadian kepada pegawai selepas empat tembakan dilepaskan.
Ma’Khia dilihat terus rebah di tanah dengan pisau berada di sebelahnya.
“Dia menghampiri wanita itu dengan memegang pisau ditangannya,” kata pegawai yang melepaskan tembakan tersebut.
Berdasarkan klip video kamera badan dari tiga pegawai polis di lokasi kejadian, situasi itu berlaku dengan cepat.
Ma’Khia dilihat memegang pisau di tangan kanannya dan cuba menyerang seorang wanita berpakaian merah jambu.
Ketika kejadian itu, bunyi tembakan kedengaran.
Dalam pada itu, Datuk Bandar Columbus, Andrew Ginther berkata, pihaknya masih mengumpul maklumat lanjut berhubung insiden tersebut.
“Ketika ini, kami masih belum memperolehi semua maklumatnya.
“Apa yang kami tahu adalah seorang remaja berusia 16 tahun, berasal dari komuniti ini meninggal dunia secara tragis malam tadi,” kata kepada pemberita.