Myanmar: Aktivis umum penubuhan Kerajaan Perpaduan Nasional - Utusan Malaysia

Myanmar: Aktivis umum penubuhan Kerajaan Perpaduan Nasional

PENUNJUK PERASAAN berarak bagi membantah rampasan kuasa junta tentera di Mandalay - AFP  
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YANGON: Beberapa penunjuk perasaan yang menentang pemerintahan junta tentera di Myanmar mengumumkan pembentukan Kerajaan Perpaduan Nasional di negara itu.

Lapor Reuters, kerajaan perpaduan itu bakal dianggotai oleh ahli-ahli Parlimen yang digulingkan serta pemimpin dari protes anti rampasan kuasa dan etnik minoriti.

Penubuhan kerajaan perpaduan itu bertujuan menamatkan pemerintahan ketenteraan dan mengembalikan semula demokrasi di Myanmar.

“Marilah kita menyambut kerajaan rakyat ini,” kata aktivis veteran demokrasi, Min Ko Naing dalam satu video berdurasi 10 minit yang mengumumkan penubuhan kerajaan perpaduan itu.

Konflik di Myanmar tercetus sejak junta tentera menggulingkan pemimpin awam, Aung San Suu Kyi pada 1 Februari lalu yang memegang tampuk pemerintahan selama lima tahun.

Menurut sebuah badan pemantau, hampir setiap hari penduduk Myanmar mengadakan tunjuk perasaan di sekitar jalanan menuntut pengembalian semula demokrasi dan menentang tindakan kekerasan pasukan keselamatan sehingga lebih 700 orang terbunuh.     

Pada masa sama, pemimpin politik termasuk ahli-ahli Parlimen dari parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) melakukan sedaya upaya untuk menunjukkan kepada negara dan dunia luar bahawa mereka adalah kuasa politik yang sah. 

Selain itu, Ko Naing berkata, kehendak rakyat merupakan keutamaan kerajaan perpaduan sambil menegaskan tanggungjawab yang akan dipikul adalah amat berat dan mencabar. 

“Kami sedang berusaha menangani masalah ini dari peringkat akar, jadi kita perlu banyak berkorban,” katanya dengan merujuk kepada junta tentera.     

Antara objektif utama kerajaan perpaduan tersebut adalah untuk mendapatkan sokongan dan pengiktirafan antarabangsa.

Dalam pada itu, Suu Kyi disenaraikan sebagai penasihat negara dalam satu senarai dikeluarkan oleh kerajaan perpaduan tersebut.

Sementara itu, agensi berita AP melaporkan junta tentera membebaskan lebih 23,000 tahanan sempena cuti tahun baharu di Myanmar.

Keputusan itu diumumkan di saluran televisyen MRTV yang memaklumkan Ketua Tentera, Jeneral Min Aung Hlaing memberi pengampunan kepada 23,047 tahanan termasuk 137 warga asing yang akan dihantar pulang dari negara itu.

Namun, tidak dapat dipastikan sama ada senarai itu turut membabitkan aktivis yang ditahan ketika demonstrasi rampasan kuasa.  

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya