RIYADH: Liga Dunia Islam (MWL) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Malaysia bagi menjalin kerjasama membanteras keganasan dan mempromosikan keamanan di semua negara Islam.
Lapor Arab News, MoU itu ditanda tangan selepas Setiausaha Agung MWL, Dr. Mohammed Abdul Karim al-Issa menerima kunjungan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan delegasinya di sini semalam.
Dokumen perjanjian itu akan diserahkan kepada pihak berkuasa komunikasi Malaysia sebelum diedarkan kepada media dan institusi pendidikan.
Kedua-dua negara juga mencapai persetujuan untuk memperkasakan semua prinsip yang digariskan dalam perjanjian untuk diselaraskan dengan kurikulum pendidikan dan menyediakannya untuk organisasi agama di Malaysia.
Selain itu, Arab Saudi dan Malaysia akan menganjurkan beberapa aktiviti bersama termasuk persidangan, seminar dan perbincangan panel berhubung isu semasa berkaitan keganasan.
Malah, MoU itu juga bagi mempromosikan bahasa Arab dan budaya negara ini di Malaysia.
Sementara itu, Zulkifli memuji usaha yang dilakukan oleh Mohammed untuk memperkasakan keamanan di semua negara Islam.