MEXICO CITY: Mexico menyaksikan peningkatan sembilan kali ganda dalam jumlah ketibaan pendatang kanak-kanak sejak awal tahun ini.
Perkara itu didedahkan oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dalam satu kenyataan.
UNICEF turut memberi amaran kebanyakan kanak-kanak itu ditahan di pusat perlindungan yang sesak berhampiran sempadan Mexico dan Amerika Syarikat (AS).
Menurut agensi itu, jumlah pendatang kanak-kanak meningkat daripada 380 sehingga hampir 3,500 orang sejak awal tahun ini.
Dilaporkan, separuh daripada kumpulan kanak-kanak itu yang berasal dari Honduras, Guatemala, El Salvador dan Mexico melakukan perjalanan merentasi sempadan negara tanpa ditemani ibu bapa atau penjaga.
Jelas UNICEF, jumlah tersebut merupakan antara tertinggi yang pernah direkodkan di Mexico.
Golongan kanak-kanak juga merangkumi kira-kira 30 peratus pendatang yang tinggal di beberapa tempat perlindungan warga Mexico.
“Saya sangat sedih melihat begitu banyak kanak-kanak muda termasuk bayi menderita di sempadan Mexico dengan AS.
“Sebahagian besar pusat perlindungan yang saya kunjungi di Mexico sudah sesak dan tidak dapat menampung pertambahan kanak-kanak dan keluarga yang berhijrah ke utara,” kata Pengarah Serantau UNICEF Amerika Latin dan Caribbean, Jean Gough.
Sejak beberapa bulan lalu, beribu-ribu pendatang dan pencari suaka melakukan perjalanan ke utara dari Amerika Tengah terutamanya negara `Northern Triangle‘ iaitu El Salvador, Honduras dan Guatemala serta selatan Mexico dengan harapan dapat memasuki AS.
Presiden AS, Joe Biden berjanji untuk menarik balik beberapa peraturan drastik dibawah dasar imigresen yang diperkenalkan oleh pendahulunya, Donald Trump.
Malah, pentadbiran Biden juga membenarkan kanak-kanak bawah umur tanpa ditemani orang dewasa yang tiba di sempadan AS-Mexico untuk memasuki negara tersebut.
Dilaporkan, ribuan kanak-kanak berada dalam jagaan kerajaan AS ketika pentadbiran Biden mempercepatkan proses pendaftaran golongan bawah umur itu.
Berdasarkan data dari Agensi Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS, pihaknya sudah menahan lebih 172,000 pendatang pada Mac lalu.
Jumlah itu termasuk kira-kira 19,000 kanak-kanak tanpa ditemani orang dewasa.
Minggu lalu, sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Save the Children memberi amaran bahawa jumlah kanak-kanak tanpa ditemani orang dewasa yang berada di sepanjang sempadan AS-Mexico semakin meningkat.
Malah, jelas pertubuhan itu, perjalanan kanak-kanak itu dilihat berbahaya kerana mereka tiba di Mexico dengan melalui laluan yang tidak selamat untuk mengelakkan sekatan imigresen. – AFP/AGENSI