JAKARTA: Malaysia dan Singapura akan membantu Indonesia dalam operasi pencarian kapal selam, KRI Nanggala-402 yang dilaporkan hilang di perairan utara Bali semalam.
Lapor Kompas, Ketua Pusat Penerangan Tentera Laut Indonesia (TNI), Mejar Jeneral Achmad Riad berkata, dua negara jiran itu menawarkan bantuan aset untuk mengesan kapal selam yang membawa 53 anak kapal itu.
Katanya, Singapura mengerahkan kapal penyelamat kapal selam yang dijangka tiba pada 24 April ini.
Jelas beliau, Malaysia pula menghantar kapal penyelamat Mega Bakti.
“Kapal penyelamat Mega Bakti dijangka tiba pada 26 April ini,” katanya dalam satu sidang akhbar.
KRI Nanggala-402 buatan Jerman dilaporkan terputus hubungan selepas menyelam di kawasan perairan Bali. – AGENSI