JAKARTA: Menteri Perdagangan, Muhammad Lutfi dikhabarkan akan dilantik menjadi Menteri Pelaburan di negara ini.
Lapor Tribunnews, Anggota Suruhanjaya Dewan Perwakilan Rakyat, Kamrussamad berkata, Lutfi dilihat memiliki kelayakan dalam bidang pelaburan dan pernah menjadi Ketua Badan Koordinasi Penanaman Modal, duta besar serta mempunyai rangkaian perniagaan nasional dan global.
“Kalau benar Lutfi dipilih menjadi Menteri Pelaburan, saya optimis kita dapat menyakinkan pelaburan global untuk masuk ke Indonesia,” katanya.
Isu rombakan kabinet Indonesia kembali bertiup kencang selepas dua kementerian iaitu Kementerian Penyelidikan dan Teknologi (Kemenristek) serta Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan (Kemendikbud) dikatakan akan bergabung.
Desas desus itu semakin kuat apabila jangkaan kekosongan dua menteri baharu bakal diganti serta kementerian baharu iaitu Kementerian Pelaburan bakal ditubuhkan.
Menurut Kamrussamad, dalam memastikan pelaburan berkualiti di negara itu, menteri yang dilantik mesti berupaya menyelesaikan masalah atau halangan pelaburan di Indonesia.