JAKARTA: Sebuah video yang menunjukkan seorang lelaki mengaku dia adalah nabi ke-26 menjadi tular dalam media sosial di negara ini.
Lapor CNN Indonesia, video itu menunjukkan lelaki bernama Jozeph Paul Zhang mengadakan forum terbuka yang menghina agama Islam.
Selain itu, lelaki tersebut juga mengugut sesiapa sahaja yang berani melaporkan dirinya ke polis berhubung video berkenaan dan pengakuannya sebagai nabi ke-26.
Video tersebut mencetuskan pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial, termasuk mendapat perhatian pihak berkuasa Indonesia.
Jurucakap polis, Agus Andrianto berkata, kes tersebut dalam siasatan.
Katanya, lelaki tersebut dipercayai tidak berada di Indonesia dan sudah meninggalkan negara ini sejak Januari 2018, selain didakwa kini berada di Jerman.
“Namun, hal itu tidak akan menghalang siasatan dilakukan kerana polis Indonesia akan bekerjasama dengan polis luar untuk mengesan kedudukan Jozeph.
“Polis juga akan membuat pendaftaran pencarian (DPO) terhadap lelaki itu bagi membolehkan dia dihantar pulang ke Indonesia dari mana-mana negara yang dia menetap ketika ini,” katanya.
Berdasarkan risikan, Agus turut memaklumkan Jozeph menyedari videonya mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan penduduk beragama Islam di negara ini.
Sementara itu, Menteri Agama, Yaqut Cholil Qoumas menggesa polis untuk bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang menghina agama.
“Mana-mana pihak yang menghina agama perlu dikenakan hukuman tegas kerana perbuatan itu bukan perkara yang boleh dipandang ringan,” ujarnya.