WASHINGTON: Seorang lelaki ditahan selepas dilaporkan cuba memecah masuk apartmen milik penyanyi terkenal Amerika Syarikat (AS), Taylor Swift di Manhattan, New York.
Lapor BBC, polis berkata, Hanks Johnson, 52, ditahan pada petang Sabtu selepas seorang individu yang menghubungi talian kecemasan 911 mendakwa dia berada di dalam kediaman tersebut.
Johnson didakwa atas kesalahan pencerobohan dan dibebaskan tanpa jaminan pada Ahad lalu.
Dilaporkan, Swift tidak berada di rumah ketika kejadian itu berlaku.
Penyanyi berusia 31 tahun itu sebelum ini pernah menghadapi insiden serupa apabila seorang lelaki cuba memecah masuk kediamannya di Pulau Rhode pada 2019.
Swift melakar sejarah apabila menjadi artis wanita pertama yang memenangi kategori Album Terbaik sebanyak tiga kali sepanjang penganjuran Anugerah Grammy.
Bulan lalu, bintang pop AS itu menerima anugerah bagi album Folklore selepas pernah memenangi kategori sama menerusi album Fearless pada 2010 dan album 1989 pada tahun 2016. – AGENSI