ANTIGUA dan BARBUDA: Gunung Berapi La Soufriere sekali lagi meletus hari ini di Saint Vincent di kepulauan Caribbean, menyebabkan bekalan elektrik dan air terputus.
Gunung berapi itu meletus buat kali pertama semalam dengan menghamburkan debu panas ke udara dan kawasan sekitar di seliputi debu tebal, memaksa kira-kira 16,000 penduduk meninggalkan kediaman masing-masing.
Penduduk di Barbados, kira-kira 200 kilometer ke tenggara kepulauan itu turut diarahkan supaya duduk di rumah.
Para Saintis memberi amaran letusan akan berterusan selama beberapa hari akan datang atau mungkin berminggu.
Menerusi Twitter, pihak berkuasa Saint Vincent memaklumkan seluruh bandar bergelap dan diseliputi debu tebal.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati terutamanya ketika memandu berikutan jarak penglihatan yang terhad dan debu tebal.
Perdana Menteri, Ralph Gonsalves menyatakan bekalan air juga terputus di kebanyakan kawasan dan ruang udara ditutup susulan asap dan debu tebal yang dikeluarkan oleh gunung berapi tersebut.
Katanya, ribuan penduduk mendapatkan perlindungan di pusat pemindahan sementara. – AFP