JAKARTA: Pergolakan politik Myanmar menjadi agenda utama dalam sidang kemuncak khas ASEAN yang berlangsung di Jakarta.
Barisan pemimpin Asia Tenggara mengadakan perbincangan dengan Ketua Tentera Myanmar, Jeneral Min Aung Hlaing berhubung krisis di negara itu yang semakin meruncing.
Dalam mesyuarat tersebut, negara anggota ASEAN membangkitkan enam perkara yang mahu dilihat di Myanmar antaranya lawatan delegasi ASEAN difasilitasi oleh pihak berkuasa Myanmar.
Perkara lain termasuk menghentikan tindakan kekerasan terhadap orang awam, membebaskan semua ahli politik yang ditahan dan membenarkan bantuan kemanusiaan yang dikendalikan oleh ASEAN dan pihak lain.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong berkata, Aung Hlaing tidak menentang lawatan delegasi ASEAN untuk membantu menyelesaikan krisis Myanmar.
“Pada akhir mesyuarat itu, Aung Hlaing memberi respon. Beliau kata mendengar kami dan akan mengambil maklum mengenai perkara dikemukakan itu.
“Beliau tidak menentang ASEAN memainkan peranan konstruktif mahupun menentang lawatan delegasi ASEAN dan bantuan kemanusiaan.
“Mereka akan bergerak ke hadapan dan terlibat dengan ASEAN menerusi cara yang konstruktif,” katanya.
Tambah Hsien Loong, beliau berpandangan ASEAN akan bekerjasama dalam merancang lawatan delegasi ke Myanmar dan menyelaraskan bantuan kemanusiaan ke negara tersebut.
Dalam pada itu, Presiden Indonesia, Joko Widodo menegaskan junta tentera harus menamatkan keganasan terhadap penduduk Myanmar dan mengembalikan semula demokrasi di negara itu.
“Komitmen pertama yang diminta dalam mesyuarat itu adalah tentera Myanmar perlu menamatkan sebarang jenis keganasan dan semua pihak perlu menghentikan tindakan itu agar ketegangan dapat dikurangkan,” katanya selepas mesyuarat tersebut. – AGENSI/AFP