JAKARTA: Tentera Nasional Indonesia (TNI) mengesahkan kapal selam KRI Nanggala-402 yang hilang di perairan utara Bali, telah tenggelam.
Panglima TNI, Hadi Tjahjanto berkata, tanda isyarat tenggelam bagi KRI Nanggala-402 diisytiharkan selepas operasi pencarian dilakukan selama 72 jam.
“Tempoh masa anggaran ketahanan bekalan oksigen bagi KRI Nanggala iaitu selama 72 jam sudah berakhir.
“Malah, kesan tumpahan minyak dan serpihan yang ditemui menjadi bukti asli menuju fasa KRI Nanggala tenggelam,” katanya dalam sidang akhbar.
KRI Nanggala-402 dilaporkan hilang di perairan utara Bali sejak Rabu lalu.
Kapal selam buatan Jerman itu membawa 53 anak kapal dilaporkan terputus hubungan selepas melakukan latihan torpedo.
Dalam pada itu, Ketua Staf Angkatan Laut (KSAL), Laksamana Yudo Margono berkata, pihaknya berjaya menemukan serpihan KRI Nanggala-402 termasuk beberapa barang dari dalam kapal selam itu. – AGENSI/AFP