JAKARTA: Kementerian Pertahanan Indonesia sehingga kini giat melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) kapal selam KRI Nanggala-402 yang dilaporkan hilang di perairan utara Bali sekitar pukul 3 petang waktu tempatan.
Lapor Kompas.com, kementerian tersebut memaklumkan pihaknya menemukan kesan tumpahan minyak di sekitar kedudukan awal kapal selam itu berada sebelum dilaporkan hilang.
Kesan tumpahan minyak itu ditemukan berdasarkan pemantauan dari udara.
“Kira-kira pukul 7 malam, pasukan penyelamat menemukan kesan tumpahan minyak di sekitar kedudukan awal kapal selam berkenaan,” jelas kementerian tersebut.
Sehingga kini, operasi SAR masih dilakukan menggunakan teknologi ‘side scan sonar’.