MINNEAPOLIS: Bekas pegawai polis, Derek Chauvin didapati bersalah atas tuduhan pembunuhan tahap kedua dan tahap ketiga serta menyebabkan kematian George Floyd.
Barisan juri dianggotai 12 orang mendapati Chauvin, 45, bertanggungjawab dalam kematian Floyd pada tahun lalu selepas mengambil kira keterangan daripada 45 saksi termasuk pemerhati, pegawai polis dan pakar perubatan.
Juri memulakan perbincangan mereka pada Isnin.
Floyd, 46, meninggal dunia selepas Chauvin berlutut atas lehernya selama hampir sembilan minit sejurus dia ditahan pada 25 Mei 2020 kerana disyaki terlibat dalam kes penggunaan dokumen palsu di sebuah kedai makanan berdasarkan gambaran imej suspek.
Video kejadian yang dirakam oleh orang awam menjadi tular sekali gus mencetuskan kemarahan hingga berlaku demonstrasi besaran yang bertukar ganas di Amerika Syarikat (AS).
Di bawah garis panduan hukuman Minnesota, Chauvin berdepan hukuman penjara 12 tahun dan enam bulan di atas kesalahan membunuh sebagai pesalah jenayah buat kali pertama.
Bagaimanapun, pendakwa raya boleh memohon tempoh hukuman yang lebih lama sehingga maksimum 40 tahun sekiranya Hakim Daerah County Hennepin, Peter Cahill yang mengetuai perbicaraan itu memutuskan bahawa wujudnya ‘faktor-faktor yang lebih teruk’. – REUTERS/AFP