LONDON: Sebuah kereta kebal era Perang Dunia Kedua yang tertanam pada kedalaman 9.1 meter dalam tanah di Cambridgeshire Fens berjaya dibawa keluar oleh sekumpulan sukarelawan selepas lima hari proses penggalian bermula.
Lapor Daily Mail, kereta kebal Buffalo LVT-4 sepanjang 7.9 meter itu merupakan satu daripada 16 aset tentera yang digunakan untuk menahan banjir di perkampungan Crowland pada 1947.
Kereta kebal seberat 20 tan itu dipercayai sudah tertanam selama 74 tahun, namun keadaannya masih baik ketika ditemukan.
Pengerusi Crowland Buffalo LVT, Daniel Abbott berkata, pasukannya melakukan penggalian menggunakan jentera berat dan ada kalanya terpaksa menggunakan tangan bagi mengeluarkan kereta kebal tersebut.
“Kami menghabiskan masa selama lima hari untuk menemukan kereta kebal itu dan berasa sangat gembira selepas ia berjaya dibawa keluar.
“Kami berharap kereta kebal itu boleh dijadikan muzium untuk tatapan semua generasi,” katanya.
Banjir yang berlaku di Crowland menyebabkan kira-kira 12,140 hektar tanah terjejas termasuk pertanian.