MINNEAPOLIS: George Floyd sudah tidak asing lagi selepas namanya dilaungkan oleh penunjuk perasaan malah wajahnya dipaparkan pada lukisan mural di seluruh Amerika Syarikat (AS).
Insiden kematian Floyd turut mendedahkan isu perkauman dan kekerasan polis yang membelenggu warga berkulit hitam di negara tersebut.
Keputusan kes pembunuhan Floyd menunjukkan ahli keluarga yang kehilangan insan tersayang itu kini mendapat pembelaan sewajarnya.
Bekas pegawai polis, Derek Chauvin didapati bersalah atas tuduhan pembunuhan tahap kedua dan tahap ketiga serta menyebabkan kematian Floyd.
Barisan juri dianggotai 12 orang mendapati Chauvin, 45, bertanggungjawab dalam kematian Floyd selepas mengambil kira keterangan daripada 45 saksi termasuk pemerhati, pegawai polis dan pakar perubatan.
Di bawah garis panduan hukuman Minnesota, Chauvin berdepan hukuman penjara 12 tahun dan enam bulan di atas kesalahan membunuh sebagai pesalah jenayah buat kali pertama.
Bagaimanapun, pendakwa raya boleh memohon tempoh hukuman yang lebih lama sehingga maksimum 40 tahun sekiranya Hakim Daerah County Hennepin, Peter Cahill yang mengetuai perbicaraan itu memutuskan bahawa wujudnya ‘faktor-faktor yang lebih teruk’
Lebih 200 orang berkumpul di luar Mahkamah Daerah County Hennepin, Minneapolis, Minnesota untuk mendengar keputusan kes pembunuhan Floyd yang sebelum ini mencetuskan tunjuk perasaan besaran di seluruh negara untuk menentang ketidakadilan kaum.
Rata-rata penduduk menyambut baik tindakan itu dengan tangisan kegembiraan dan berasa lega kerana akhirnya pembunuh kulit putih itu dikenakan hukuman setimpal.
Floyd, 46, meninggal dunia selepas Chauvin berlutut atas lehernya selama hampir sembilan minit sejurus dia ditahan pada 25 Mei 2020 kerana disyaki terlibat dalam kes penggunaan dokumen palsu di sebuah kedai makanan berdasarkan gambaran imej suspek.
Video kejadian yang dirakam oleh orang awam menjadi tular sekali gus mencetuskan kemarahan hingga berlaku demonstrasi besaran yang bertukar ganas di AS.
Dalam pada itu, bekas teman wanita Floyd, Courteney Ross menyifatkannya sebagai lelaki yang sangat baik.
“Floyd seorang lelaki penyayang dan dia kini berada bersama kita,” katanya ketika ditemui selepas keputusan kes itu dibacakan.
Ketika ditanya kemungkinan reaksi Floyd sekiranya masih hidup berhubung keputusan mahkamah, Ross berkata, bekas teman lelakinya mungkin berpandangan `inilah masanya untuk semua orang bersatu.
Floyd dikenali dengan gelaran `The Gentle Giant’ dalam kalangan rakan dan ahli keluarganya. – AFP/REUTERS