EDINBURGH: Seorang wanita terpaksa menjual rumah idamannya selepas sebuah kediaman baharu dibina terlalu dekat dengan kawasan rumahnya.
Kedudukan kediaman tersebut terlalu dekat dengan rumah Pauline Boyd sehingga dia boleh melihat jirannya di dalam tandas.
Lapor Metro, Pauline Boyd dan pasangannya membeli rumah mereka di Blair Drummond, Perthshire kira-kira tiga tahun lalu untuk berada berhampiran keluarganya.
Namun selepas berpindah, Boyd mendapati garaj kediaman baharu tersebut terlalu dekat dengan rumahnya sehingga dia boleh melihat terus dapur dan ruang tamu jirannya.
Boyd turut mendakwa dia tidak menerima surat permohonan perancangan yang dikeluarkan secara berperingkat berhubung pembinaan kediaman baharu itu.
“Kami boleh melihat jiran sedang mandi atau masuk ke tandas semasa menikmati makan malam,” katanya.
Disebabkan rasa tidak selesa dengan keadaan itu, Boyd membuat keputusan untuk menjual rumahnya walaupun kerja-kerja pengubahsuaian sudah dilakukan.