JAKARTA: Indonesia menjatuhkan hukuman mati berbentuk tembakan terhadap banduan menerusi aplikasi Zoom dan video lain semasa pandemik Covid-19.
Tindakan itu menerima kritikan kerana disifatkan tidak berperikemanusiaan kerana pesalah akan menjalani hukuman keras.
Negara itu menjalankan sesi perbicaraan di mahkamah secara dalam talian disebabkan perintah sekatan Covid-19 berhubung kes pembunuhan dan pengedaran dadah.
Menurut Pengarah Amnesty International, Usman Hamid, sejak awal tahun lalu, hampir 100 banduan dihukum mati di Indonesia oleh hakim yang hanya melihat pesalah menerusi skrin televisyen.
“Sesi perbicaraan secara dalam talian menafikan hak defendan yang berdepan hukuman mati kerana ia adalah tentang soal hidup atau mati seseorang,” katanya.
Indonesia yang majoritinya merupakan penduduk Islam melaksanakan undang-undang berkaitan kesalahan dadah paling berat.
Bulan ini, seramai 13 ahli sindiket dadah termasuk tiga rakyat Iran dan Pakistan akan ditembak kerana mengedar 400 kilogram syabu di negara itu.
Rabu lalu, mahkamah menjatuhkan hukuman mati menerusi aplikasi video terhadap enam militan berhubung rusuhan di penjara pada 2018. -AFP