MUMBAI: India merekodkan kes jangkitan Covid-19 tertinggi di dunia buat empat hari berturut-turut ketika gelombang kedua wabak itu terus melumpuhkan negara ini.
Kementerian Kesihatan India merekodkan sebanyak 2,767 kematian dan 349,691 kes jangkitan Covid-19 baharu dalam tempoh 24 jam biarpun ujian saringan dilakukan secara terhad, sekali gus menunjukkan angka sebenar mungkin lebih tinggi.
Para saintis di negara ini memberi amaran bahawa jumlah kematian boleh meningkat sehingga 500,000 sehari menjelang minggu pertama bulan depan.
Kadar kematian akibat koronavirus bagi setiap 100,000 kes di India ketika ini adalah 1.14 peratus, menyaksikan jika kes jangkitan meningkat sehingga 500,000 sehari, maka jumlah kematian boleh mencecah 5,700 orang.
Jumlah kes yang meningkat tanpa kawalan juga menyebabkan bekalan oksigen di kebanyakan hospital semakin terhad, malah ada yang sudah kehabisan ubat-ubatan.
Oksigen jadi barang berharga
Bekalan oksigen yang terhad ketika ini menjadi ‘barang berharga’ di semua hospital di India.
Keadaan menjadi semakin terdesak apabila aktiviti mencuri tong oksigen dilaporkan berlaku di negeri Madhya Pradesh.
Kejadian serupa turut berlaku di negeri Haryana apabila sebuah trak yang membawa bekalan oksigen dilaporkan hilang dan dipercayai dicuri.
Selain itu, beberapa hospital diserbu oleh orang ramai yang mencuri ubat antiviral remdesivir.
Ubat itu digunakan untuk merawat jangkitan Covid-19.
Hukuman gantung
Dalam pada itu, pihak berkuasa India berikrar untuk mengenakan ‘hukuman gantung sampai mati’ terhadap mana-mana pihak yang sengaja melambatkan penghantaran bekalan oksigen bagi kegunaan pesakit Covid-19.
Sebuah mahkamah tinggi di New Delhi hari ini memberi amaran pihaknya akan mengenakan hukuman mati selepas berlaku penyelewengan bekalan oksigen oleh pegawai kerajaan negeri.
Mahkamah tersebut menyifatkan keadaan yang berlaku di India ketika ini sama seperti ‘tsunami’.
Mati setiap minit
Seorang pakar perubatan, Dr, Sumit Ray memberitahu BBC, pesakit mati dalam tempoh ‘setiap minit’ selepas tiba di hospital akibat kekurangan bekalan oksigen dan katil untuk menerima rawatan kecemasan.
“Hampir setiap hospital berdepan dengan situasi sama. Dalam tempoh beberapa minit, pasti ada pesakit yang meninggal dunia.
“Kebanyakan pesakit bergantung kepafa oksigen untuk bernafas dan jika bekalan habis, maka mereka akan meninggal dunia,” katanya.
Akhbar Indian Express melaporkan, sekurang-kurangnya 20 pesakit Covid-19 di unit rawatan rapi (ICU) di sebuah hospital di New Delhi meninggal dunia semalam akibat kekurangan bekalan oksigen.
Menurut jurucakap hospital berkenaan, bekalan oksigen lewat dihantar sehingga lapan jam dan hanya menerima 40 peratus daripada bekalan yang diperlukan.
Keadaan terburuk
Situasi Covid-19 di India diburukkan dengan kemunculan varian baharu yang mempunyai sifat lebih mudah berjangkit dan menyebabkan kematian cepat jika lambat mendapatkan rawatan.
Pakar perubatan, Dr. Harjit Singh Bhatti menyifatkan keadaan yang berlaku ketika ini sebagai paling buruk sepanjang kerjayanya sebagai doktor.
“Saya tidak pernah berdepan dengan situasi seteruk ini. Orang ramai mati di tepi jalan atau di atas lantai hospital.
“Keadaan tidak akan pulih selagi bekalan oksigen tidak mencukupi,” ujarnya. – AGENSI