LOS ANGELES: Seorang ibu dilaporkan melemaskan tiga orang anaknya hingga mati hanya untuk melindungi mereka daripada didera ayahnya.
Lapor Metro, Liliana Carrillo, 30, disyaki membunuh anak perempuan berusia tiga tahun, anak lelaki berumur dua tahun dan bayi perempuan enam bulan.
Carrillo dari Bakerfield di California mengakui melakukan perbuatan demikian kerana mahu menjauhkan anak-anaknya daripada ayah mereka, Erik Denton.
Dilaporkan, pasangan itu dalam proses menuntut hak jagaan tiga anak tersebut apabila mereka ditemukan meninggal dunia pada 10 April lalu.
Menurut polis, Joanna, Terry dan Sierra dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh nenek mereka di sebuah apartmen di Reseda di Los Angeles.
Carrillo kini ditahan di Penjara Kern County.
“Ketika anak-anak saya dilahirkan, saya berjanji untuk melindungi mereka.
“Saya amat sayangkan mereka dan tidak berhasrat untuk melakukan demikian, tetapi saya lebih rela anak-anak saya tidak diseksa dan didera seumur hidup mereka,” kata Carrillo ketika disoal siasat polis.
Polis masih belum mendedahkan motif pembunuh namun rekod mahkamah menunjukkan terdapat pertikaian mengenai hak jagaan anak antara Carrillo dan Denton.
Berdasarkan laporan, kanak-kanak itu tinggal bersama Carrillo namun Denton dikatakan boleh mengancam keselamatan mereka.
Berdasarkan dokumen mahkamah, Denton memfailkan petisyen hak jagaan anak pada 1 Mac lalu dengan mendakwa Carrillo sering berkhayalan dan membawa lari anak-anaknya serta enggan memaklumkan keberadaan mereka.
Carrillo pula memfailkan perintah larangan dan mendakwa Denton sering berada di bawah pengaruh alkohol yang mungkin melakukan serangan seksual terhadap anak sulungnya.