MADIUN: Individu yang mengingkari arahan kerajaan untuk tidak pulang ke kampung halaman akan dikenakan hukuman tinggal dalam bilik kuarantin oleh Kerajaan Bandar Madiun.
Lapor Detik.com, Datuk Bandar itu, Maidi berkata, bilik kuarantin itu adalah bekas bangunan penjara tentera di Jalan Ahmad Yani yang kelihatan sangat menyeramkan.
“Kerajaan Madiun akan mengikuti arahan pemerintah dan akan menempatkan individu yang melanggar arahan di tempat pengasingan yang merupakan bekas penjara yang berhantu,” katanya.
Bangunan itu merupakan penjara lama sejak pemerintahan Belanda yang menempatkan tahanan tentera bersebelahan kompleks Gereja Katolik St. Cornelius di bandar itu.
Bahagian sisi di Jalan Pandan itu sebelum ini merupakan penjara bagi banduan sivil yang dianggap memberontak terhadap kerajaan.
Menurut Maidi, pihaknya bekerjasama dengan Brawijaya untuk menggunakan bangunan itu dan sedang melakukan kerja pembersihan di lokasi tersebut.
Sementara itu, seorang penduduk, Yani, 56, berkata, lokasi bekas penjara tentera itu sememangnya berhantu dan menakutkan kerana kelibat pocong sering kelihatan.